|“Hidup memang bukan mudah dan kerana payahnyalah kehidupan itu, aku dan engkau akan menjadi lebih bermakna sebagai manusia”
― Faisal Tehrani, Cinta Hari-Hari Rusuhan
Rahsia Ana
Rahsia.
Suatu hakikat yang sangat berat untuk untuk diangkat. Suatu kebenaran yang
enggan melanggan perhatian. Suatu kata yang selalunya fakta dan jarang direka.
Kerana semua inilah, ia dipanggil rahsia. Semua hamba-Nya punya secebis dua
rahsia. Rahsia hanya kekal rahsia dalam kalangan manusia tapi tak mampu disuruk
dari Yang Maha Pencipta. Rahsia, rakannya ialah amanah. Amanah yang menentukan
sama ada ia kekal satu rahsia atau sebaliknya. Ana mahu bertanya sesoal dua. Pernah
atau tidak saudara menyimpan rahsia yang tak mungkin saudara ucapkan pada yang
lain? Jawab persoalan ana. Pernah ataupun tidak? Jikalau tidak, saudara belum
jumpa lagi kehidupan sebenar kerana yang sebenar haruslah penuh dengan rahsia.
Bagi yang punya rahsia, pernahkah saudara berkongsi cerita? Jawab persoalan
ana. Pernah ataupun tidak? Jikalau tidak, maka saudara adalah insan yang
syumul, moga terhindar dari sebarang dosa juga noda. Saudara seorang yang
amanah. Namun, bagi yang tidak pandai menyimpan rahsia, ketahuilah bahawa
saudara semua perlu berwaspada. Jangan sehingga rahsia saudara pula yang dijaja.
Ana nasihatkan agar saudara kembali kepada yang Esa memohon ‘inaiyat dari-Nya. Maka,
untuk yang suka membuka gerai menjaja cerita, ingin ana kaitkan sepotong perca rahsia
lama untuk menjadi selembar anekdot cerita. Dari sebalik palang besi ini, ana
mahu anekdot ini menjadi guru di luar sana untuk mengajar sekalian alam bahawa
rahsia tidak semestinya untuk dijaga. Inilah rahsia yang ana ingin jaja kerana
ana juga pernah bergelar seorang pendosa.
* * * *
“Dosa
tidak mengerjakan Zohor’ adalah sama seperti kamu membunuh seribu orang umat
Islam. Baik kamu pergi capai parang sekarang dan bunuh semua rakan kamu di
sekolah ini.”, seloroh Ustazah Faridah, menyelitkan
unsur humor dalam kelas. Sebilangan rakanku tertawa kecil sambil mengerling ke
arah sama sendiri dengan sakatan yang sungguh sinikal. Masing-masing tahu
antara mereka siapa yang begitu pemalas mengerjakan solat kerana sesetengah
dari mereka tinggal di asrama sekolah. Kelas telah pun tamat. Namun, buah
fikiran Ustazah yang penuh bernas tadi masih terngiang-ngiang di benak
fikiranku sejak waktu rehat. Terkesan betul
aku dengan lontaran akal guruku yang telah lebih setengah abad usianya itu. Enigma-enigmanya tentang tauhid
ke-Islaman begitu menarik sehinggakan sepelaung dua jalan pulangku dibelanjakan
untuk memikirkan kata-katanya. Aku berfikir kembali, aku ini mungkin terlalu
lemah untuk melahirkan kata-kata semahal zamrud dan seharum kasturi seperti ustazah.
Jarak aku menapak telah jauh sepenanak lagi. Namun, pucuk pondok usangku yang
hampir rebah menyembah bumi masih belum nampak dek mata. Kata-kata ustazah
semakin menyirna dimamah kepenatan. Panas mentari mencucuk kulit sehinga terasa
ke dalamnya. Habanya kelihatan begitu marah tengahari ini, tidak dikasihankan
tanah merah yang setia meresap haba amarahnya. Oasis-oasis kerdil yang sayup-sayup
terpancar di permukaan jalanan, sentiasa menjadi penemanku dikala kebosanan. Aku
telah lali dengan panas mentari yang telah membakar rangup kulitku yang dulunya
sawo matang, kini, bukan lagi dalam warna yang asal. Aku kelihatan seperti
telah bekerja di kilang besi milik Orang Kaya Chong sejak dinihari. “Petang nanti, mesti hujan”, hatiku
mendengus. Mengiyakan seruan alam, aku redha. Petang ini, tiada lagilah ikan
sepat goreng sebagai kudapan kami adik beradik setelah lebih kurang sebulan
menjamah hidangan yang sama. Kata adikku berseloroh, “ Jika mahu diikutkan, mahu juga tumbuh sisik di kulit kitakan, Along?
Yalah, hari-hari perut ini disumbat ikan sahaja.”. Aku diam saja membatukan
wajah tanda tentangan. Kadangkala, hatiku bergetus juga, bukannya ingin
menidakkan rezeki, malahan, syukran buat-Nya. Namun, alangkah lebih molek, jika
adikku yang baru setahun jagung itu merasa keindahan di alam kecilnya seperti
rakan-rakan yang lain.
Langkah yang sentiasa mengusai jalan, kini
semakin hampir dengan al-bait. Pucuk atap rumah telah ternampak disebalik
juntaian-juntaian pepohon langsat kering yang ditanam arwah ibu. Rumahku yang
begitu dingin sering dibanjiri teduhan kanopi aneka pepohon buah. Saban tahun,
tika musim menuai hasil buah, kami adik-beradik menjadi orang berduit, menghitung
duit yang berkepok di dalam kocek seluar. Seperti dulu, aku dan adik akan
menjadi kera jadian memetik langsat
bersama arwah ibu. Pesan ibu masih bersemadi di benak fikiran, “Jangan dibazir rezeki Tuhan, ambil dan
kau jualkan, jika tidak kau sedekahkan, biar kau dan adik sedap ditatap dalam
pandangan”. Mengingati arwah ibu memancarkan butir-butir mutiara jernih yang
jatuh menuruti longkang pipi lalu bersatu kembali di bucu dagu. Tudung kapas
lusuh di segenap ruang kepalaku inilah yang telah menjadi penyapu air mata yang
cukup setia setelah pemergian ibu dua belas purnama yang lalu. Aku cukup emosional bila mengingati arwah
namun kugagahkan jua langkah meniti hari yang mendepan. Aku perlu sentiasa
berada dalam landasan iman dan taqwa kerana aku yakin itulah penentu hidup yang
abadi.
Langkah kaki masih
menderap segenap lorong yang menuju masuk ke halaman rumahku. Dedaun kering
pagi tadi yang menutup bumi tidak lagi kelihatan, malah, mampu kuhela bau asap
dedaun kering yang baru sahaja berhenti berbara. Kepenatan, aku gagahkan
tulang-belulang leherku yang kejang memikul beban beg galas untuk menoleh ke
rumah bersebelahan. Kosong. Berkunci dan tidak berorang. Aku menghela nafas
kelegaan. Mak Lang Sa’adah, ibu saudaraku masih lagi belum pulang. Ke pasar
basah agaknya membeli keperluan dapur dan warung kecil di depan halaman
rumahnya. Mak Lang Sa’adah ialah seorang ibu tunggal dan balu yang tinggal
bersebelahan dengan pondok kami. Menurut ibu, Mak Lang Sa’adah merupakan saudara
bau-bau bacang kami. Manakan tidak,
jika mahu diikutkan, satu kampung ini terikat dengan pertalian saudara. Yang
membezakannya, hanya keakraban sillaturrahim. Almaklumlah, semuanya sayang mahu
meninggalkan tanah sekangkang kera dikampung. Maka dicari sahajalah bakal bini
mahupun suami sekampung. Kami dan Mak Lang Sa’adah walaupun tinggal sepelaungan
jaraknya, namun kami jarang menitip perbualan mesra gara-gara sikap kurang
senang Mak Lang yang sering menjadi buah mulut orang kampung. Tidak baiklah
jika aku membuka pekung di dada orang, kelak sendiri terkena racunnya. Kerana
aku tahu, tiada manusia menginginkan bahawa rahsia dan aibnya dibuka malah
untuk dijaja sekalian alam. Malu dan sebak akan bertakhta akibat khilaf
sepotong dua.
Aku terus berjalan
meniti lantai anjung rumahku yang sekali-sekala berkeriuk tanda usang.
Sesekali, ternampak pancaran mentari lurus menembusi lohong zink reput mengukir
corak cahaya kecil pada karpet berdebu di lantai anjung. Disitulah aku dan adik
selalu benar meletak besen untuk menampung air yang mencurah dikala kehujanan.
Kadangkala, akibat terlupa meletak besen, habis lenjun bahagian anjung kami dek
lembapnya air hujan. Aku pekikkan nama adik. Bergetar-getar anak tekakku
menderam geram. “Manalah si budak bertuah
ni? Nanti kau, kalau Along dapat kau, Along kutil telinga kau.”, monologku
sendirian. Sederap lagi langkah, aku akan masuk kebahagian dapur rumahku. Abu
menjerang air panas pagi tadi telah bertaburan disegenap ruang lantai. “Kuat betul angin hari ini. Tapi...
takkanlah sampai macam ni angin menderu masuk?”, soalku kehairanan. Habis
dengan air-air bercampur abu hitam melecah lantai. “Sakinah!!!”, jeritku memekik nama adik dalam kemarahan yang tidak
terbendung lagi. Lalu, aku capai penyapu jerami yang terselit di sudut rumah berserta
sebatang mop bagi membersihkan segala macam kekotoran. Geram sungguh aku. “Tak cukup nafas aku dibuat budak bertuah
ni.”. Maka, terbongkok-bongkoklah aku dengan beg galas yang masih lagi
melekat di belakang badan. Tiba-tiba, disebalik cungapan halus aku mengelap
lantai, kedengaran esakan kecil lagi sayu dari dalam tandas. Lantas, kubaling
sahaja mop yang di dalam tangan sebentar tadi. Bergegaslah aku menuju ke arah
datangnya suara esakan yang memugar seribu persoalan.
*
* * *
Ana
hanya menanti hari dan hanya mampu melihat lereng bukit berwarna jingga tidak
dihiasi sebarang rumput. Yang ana lihat dari sebalik palang besi beratur ini
ialah lereng itu hanya dihiasi rumpunan lalang yang juga menanti hari seperti
ana. Terlihat seekor dua pepatung merah terbang seiringan. Mereka juga sedang
menanti hari. Surat sulung yang kuterima dari kampung beberapa bulan yang lalu,
sudah renyuk hasil bacaan seribu kali. Rindu sungguh kampung halaman. Rindu
benar ana dengan semuanya walaupun pada hakikatnya, tiada apa yang ana miliki
di sana.Namun, segalanya lebih baik dari dinding konkrit bersulam batang besi
utuh yang setia menemani ana sejak hari pertama menginap di sini. Baiklah, sekarang
sebelum satu rahsia dipugar dari sebalik kamar terhujung ini, ana ingin
sekalian saudara tahu bahawa ana bukanlah penyimpan rahsia yang bermulut
tempayan. Ana hanyalah manusia yang tahu rahsia mana yang perlu di simpan dan
rahsia yang mana pula yang harus dijaja. Ceritera rahsia yang satu ini adalah
rahsia yang jika saudara terjumpa, saudara jangan simpan. Wajib dedahkan. Afdal
diniagakan.
* * * *
“Adik!!!”,
teriak anak tekakku. Aku begitu terkejut melihat adikku yang baru setahun
jagung hidup, meniti tembok kolah mandi dengan tali mengembeling serata leher.
Dia ingin menggantung diri membunuh diri. Tali buaian yang dari luar rumah telah
dihiris dengan pisau toreh getah lalu diikat mati pada kekuda didalam tandas. Kekemasan
ikatannya memberi makna kepadaku bahawa Sakinah cukup serius dengan
perbuatannya. “Jangan! Kau jangan tolong
aku! Kau jahat, kau setan! Kau sama saja dengan mereka! Penipu!”. Aku
terkejut dengan cemuhan dan tohmahan adik yang tak pernah kudengar sebelumnya.
Sebelum adikku pergi buat selamanya di tali gantung, aku mendakap kakinya penuh
erat sebelum terlambat. Alis mata sudah tidak mampu lagi menjadi empangan
kepada air mata yang beriya-iya benar ingin berjujuran ke tanah. Sebak betul
hati. “Dik, kau cakap kat akak, apa yang
jadi! Kau ni dah gila ke! Kau sanggup
hina akak macam tu sekali dik? Apa dosa akak?”, tangisanku membuak-buak
bersulam sorotan kata-kata bingung. Ya, aku memang bingung! “Kau tipu aku! Aku bukan adik kandung kau!
Kenapa kau tak pernah cakap pada aku? Kenapa orang lain yang harus jadi
penyampainya? Perlukah kau berahsia macam ini sekali padaku?”, dalam
tangisan adik yang tidak berlagu, soalan demi soalan dicampakkan padaku,
seolah-olah dia tahu aku punyai jawapan kepada semuanya. Soalan Sakinah tidak
lagi sesakinah dulu. Soalan-soalannya lalu menyentap aku masuk ke dalam dimensi
lapuk.
Kira-kira tiga tahun dahulu, tatkala aku dan
adik masih lagi di awal bangku persekolahan. Waktu itu, arwah ibu masih duduk
dipangkin luar, mengurut kakinya yang sering sahaja sakit. Tika itu, aku dan
adik meminta ibu sesalinan surat beranak masing-masing untuk keperluan sekolah.
Ibu mengerling padaku. Aku faham makna ibu. Aku terus menuju ke dalam bilik
ibu, merungkai sebuah kotak lama bersebelahan cembul sirih peninggalan moyang.
Yang kuambil hanyalah dua, surat beranakku dan surat beranak adik. Kutenung
sebentar surat beranak adik yang bakal membuka aneka persoalan di mulut adik
yang celoteh. “Along! Ambil surat beranak
ke, baru nak ke Pejabat Pendaftaran?”, laung mak penuh satira dari luar
rumah. Bibirku mengukir sedikit senyuman yang basah dengan air mata. “Ya ibu, Along datang ni! Sekejap!”, jeritku
bernada panjang tanda setuju sambil mengelap baki air mata yang berkolah di
lereng pipi. Hendak mengangguk tidak nampak pula. Aku pun terus keluar ke
halaman lalu duduk di bucu pangkin yang satu lagi. “Nah.”, aku menghulur dua keping kertas kepada ibu. Belum sempat
ibu menggapai surat-surat beranak itu, adik dengan pantas meragutnya dari
tanganku. Patut aku duga adik akan mengambil surat beranak itu sepantas
halilintar. Adik membelek isi kandungan kedua-duanya. Aku dan ibu saling
berganti jelingan. Soalan yang ibu tidak mahu dengar dari Adik tiba-tiba
terpancar, “Ibu, kenapa nama Adik dengan
Along ni lain sangat? Kenapa Along berbintikan arwah ayah tapi Adik berbintikan
Abdullah?”. Ibu terkulat-kulat begitu juga aku. Tak tahu apa yang perlu
dijawabkan. Namun, Ya Rabbi Maha Bijaksana mengatur segalanya. “Hoi, apo dibuekkan bertigo yo tu? Sodap
bona pulak den nengok anak-beranak ni. Duduk yo bawah pokok. Kot dah habih ko
kojo kek dapur tu?”, tiba-tiba Mak Lang Sa’adah datang memecah kebuntuan
dengan dialek Negeri Sembilannya. Cukup sekadar penyelamat untuk mengelak dari
menjawab soalan adik. Maha Suci Allah.
“Along!!!
Along ni dah pekak ke?”, jeritan adik menarikku
kembali ke alam realiti setelah aku hilang sebentar pergi mencakar tembok
memori. “Ha? Apa?”, aku pula yang
teraba-raba jawapan. Kali ini, tiada Mak Lang Sa’adah untuk menjadi penyelamat
dengan mulutnya yang kadangkala membawa bisa. Kali ini, suatu rahsia yang telah
aku simpan lama akan terbuka. Namun, kugagahkan jua. “Adik, siapa beritahu adik?”, aku membalas soalan adik dengan satu
lagi persoalan.Belum sempat adik menjawab persoalanku, tiba-tiba kelibat Mak
Lang muncul di dalam kekalutan aku dan adik, “Ha!!! Den dah kobar ‘an daghi dulu lagi, boghitau budak tu copek. Ni
budak tu dah bosar panjang, budak tu dah pandai mengiro semuo dah, tak yo
diboghitau an. Meh den yang boghitau. Lagipun memang dio layak tau. Den tak
salah!”, dialek sampukan dan iras suaranya seperti begitu kerap kudengar.
Begitu geram aku mendengar akuan yang tak sedikit pun bersulam rasa simpati dan
empati dari mulut Mak Lang Sa’adah. Dengan lelahku pulang dari sekolah yang tak
sempat kebah, aku menjadi begitu geram. Air mata ku yang selalu jatuh tidak
lagi berisi manisnya kenangan tapi ia keluar kerana diperah oleh kebencian manusia
yang terlalu suka berdagang cerita dan rahsia orang. Aku sayangkan adik
sehinggakan aku tak mahu melihatnya sengsara lagi, namun sekilas pandangan aku
melihat wajah adik yang terpaksa menerima semua ini diakar usia, aku jadi
berang. Pelbagai persoalan mengigit-gigit dinding tengkorakku.
Aku jadi semakin
bingung. Apa harus aku lakukan? Di kala ini, syaitan laknatullah mula menari
dan berdansa diiringi lagu-lagu amarah yang sedang berputar di radio hati. Pisau
toreh getah yang adik gunakan tadi seperti memanggil-manggil namaku. Cukup suka
betul pisau itu untuk berada dalam genggamanku. Aku yang terlalu alpa dengan
kesedihan tadi, mencapai bilah tersebut dan mengacukan sisi tajamnya pada Mak
Lang Sa’adah sambil mengecam perbuatannya
mendedahkan rahsiaku. “Mak Lang!
Kenapa?!”, bentakku penuh api kemarahan. Mak Lang yang seperti selalu, suka
menjaja cerita orang kampung, tersenyum meleret. Aku bingung, entah apa yang
Mak Lang senyumkan tetapi yang pasti ia menambah kegilaanku. Kegilaan untuk
menoreh leher perempuan neraka itu seperti apa yang ibu ajarkan pada pokok
getah milik Orang Kaya Chong. Aku telah ingat juga apa yang Ustazah Faridah
ajarkan dalam praktikal penyembelihan. Mesti potong sampai putus urat ma’rih.
Persetankan apa yang orang lain kata. Aku sudah gila.
Dua jam kemudian, aku
menjumpai diriku yang baru sedar dari pengsan, berlumuran darah bersama sebilah
pisau toreh getah. Kepalaku terasa seperti dibeduk kayu belati dengan kuat. Mayat
Mak Lang terbujur kaku di muka pintu. Kepalanya yang hampir berpisah dengan
yang selebihnya membuatkan aku gerun dengan diri sendiri. Saat itu, aku tahu
aku telah terlalu jauh dari landasan-Nya tatkala azan Isya’ berkumandang. Azan
itu mengingatkan aku tentang kata-kata Ustazah Faridah tentang dosa tidak
mengerjakan solat Zohor. Hari ini, aku telah lebih berdosa dari itu. Aku telah
berdosa dengan dosa membunuh 1001 umat Islam termasuk nyawa Mak Lang Sa’adah. Aku
bingkas bangun dan menangisi keadaanku. Adik masih di sudut tembok kolah,
memeluk betis sendiri. Aku cuba menghampiri adik namun adik terlalu takut
dengan ujudku yang sekarang ini. Aku gagahkan jua. Aku garap tangan adik dan
aku belai pipinya. Adik memejam mata dengan erat akibat ketakutan. Lalu, kubisikkan
pada adik dengan suara terketar-ketar ketakutan, “Adik, tolong rahsiakan rahsia akak yang ini?”. Adik tidak
mengangguk mahupun menggeleng. Di sisi adik, aku lihat telefon bimbitku
memaparkan senarai nombor yang baru dipanggil. Aksara 999 adalah salah satu di
antaranya. Aku termangu sebentar. Kekalutan. Ketakutan. Tiba-tiba adik bersuara
dengan serak, menahan tangisan di lubuk hati, “ Akak, adik minta maaf. Tetapi ini bukanlah rahsia yang patut adik
rahsiakan. Selamat tinggal, kakak. Adik sayang kakak.”.Siren kereta polis
sudah berbunyi di luar. Aku masih termangu memandang wajah adik yang entah bila
lagi akan bersua. Mungkin setelah terbayar segala dosa di neraka, di syurga
sana baru berjumpa. Badanku diraut kasar oleh seorang wanita berpakaian seragam
berwarna biru tua. Aku biarkan sahaja diri dibawa kemana-mana. Tidak bertenaga
untuk melawan kemahuan-Nya. “Adik, semoga
berjumpa lagi.”, ucapku pada adik. Air mata terakhir lalu jatuh di halaman
rumah.
* * * *
Inilah
rahsia ana. Rahsia yang ana ingin ujarkan pada semua. Rahsia yang ana ingin
simpan pada mulanya tapi telah ana belanjakan buat semua. Bukan untuk apa-apa,
hanya untuk mengajar dunia tentang dua jenis rahsia yang ana kutip dari orang
yang lebih muda bernama Sakinah. Alhamdulillah, di sebalik palang besi dan
pagar berbucu di Penjara Kajang ini, ana telah bertemu kembali dengan
ketenangan. Ana harap sesiapa yang membaca lembaran ini mahu mendoakan untuk
kehidupan ana di sebelah sana. Tetapi, sebelum berbuat apa-apa, ana mohon
saudara semua soal diri, tanya hati, jawab sendiri. Apakah saudara penyimpan
rahsia yang jenis pertama atau yang kedua? Salamun
‘alayk.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.